Alangkah bagusnya kalau kita dapat meneka apa yang akan berlaku kepada kita dengan tepat! Tapi semua itu hanya akan kita ketahui selepas kejadian. Sama ada kita redha atau tidak terpulang kepada tahap ketebalan iman kita. Kadang kala semua yang berlaku bertitik tolak daripada tingkahlaku kita juga.
Sememangnya kita sentiasa menadah tangan berdoa kepada Allah supaya perjalanan hidup kita lancar dan mengikut yang telah direncana. Walaubagaimanapun, kadangkala perancangan kita tidak kesampaian dan terbantut di tengah jalan. Memang agak sukar memujuk hati tapi berkat kesabaran kita tentu akan pulih semula dan menjalani hidup seperti biasa.
Kesimpulannya kita perlu membina kualiti diri yang hebat dari aspek fizikal dan material, akal, emosi dan rohani supaya kita mampu berdiri tegak walau dilanda pelbagai dugaan dan cabaran dalam menghabiskan sisa kehidupan yang hanya tinggal sedikit berbaki.
Gelagat Manusia
Label: Pada Hemat Saya
Selamat Datang 2011
Kedatangan 2011 disambut dengan rasa syukur kerana masih dapat menikmati kehidupan yang harmoni baik dalam alam rumahtangga mahupun kerjaya. Bebanan kerja yang bertambah alhamdulillah dapat ditangani dengan baik meskipun kadangkala amat terasa keperitannya. Untunglah ada yang amat memahami dan menghulurkan bantuan.
Kedatangan 2011 juga mewajibkan diri ini mengucapkan selamat tinggal kepada era 40an dan mengucapkan selamat datang kepada angka 50. Aduh, sudah lama rupanya menyedut udara segar yang diberi Allah. Syukur alhamdulillah...
Untuk suami dan anak-anak kupanjatkan doa untuk kalian semoga terus menyerlah dalam bidang masing-masing. Sukses dalam apa jua yang diceburi dan sentiasa berfikiran positif. Semoga sinar kebahagiaan sentiasa menyimbahi kita semua.
Label: Keluargaku
Kelas Tambahan Masa Cuti
Kebiasaannya pada musim cuti, pihak sekolah akan mengadakan kelas tambahan sebagai persediaan pembelajaran untuk tahun hadapan bagi murid-murid terutamanya Tahun 6. Sekolahku juga tidak ketinggalan menyusun jadual kelas tambahan untuk murid-murid. Guru-guru membuat persediaan mengajar dengan menyediakan lembaran kerja yang sepatutnya. Malangnya bila tiba harinya hanya beberapa kerat sahaja murid yang datang. Tak berbaloi rasanya guru-guru bersusah payah datang tapi murid-murid sambalewa sahaja.
Sebenarnya ibu bapa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam menasihati anak-anak. Kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung pada kerjasama ibu bapa, guru, murid, dan masyarakat setempat. Semoga hari-hari yang seterusnya ramai murid yang akan hadir kelas tambahan yang telah dijadualkan. Semoga pengorbanan para guru dihargai...
Label: Pada Hemat Saya