Tahun ini pertama kali menyambut Hari Guru di sekolah yang baru. Bertugas di sekolah ini tidak sampaipun setahun. Nampaknya kali ini tidaklah mendapat hadiah daripada murid-murid macam di sekolah lama dahulu. Murid-murid di tempat baru ini kedudukan ekonomi mereka agak kurang sedikit dan sebagai cikgu bukanlah hadiah yang kita harapkan selalu daripada murid-murid...
Yang pasti, kepuasan seorang guru ialah apabila terdengar bekas anak muridnya sudah berjaya dalam kehidupan mereka. Ramai yang telah menjejak kaki ke menara gading dan seterusnya berjaya mendapat kerja yang baik-baik.
Yang sedihnya menjadi cikgu ini, ialah apabila berselisih dengan anak murid yang langsung tidak menegur cikgu. Macamlah cikgu ini sudah lupa dan tidak mengenali mereka. Padahal nama murid itu masih lagi boleh kita ingat. Agaknya, cikgu yang mengajar di sekolah rendah ini tidak layak ditegur. Lupa agaknya, cikgu inilah yang bertungkus-lumus membetulkan tulisan yang comot menjadi karangan yang sempurna.
Apa-apapun, semangat seorang guru itu masih hangat membara. Semangat yang sama seperti mula-mula menjadi cikgu dulu - 24 tahun yang lalu. Pada Hari Guru apabila lagu Guru Malaysia itu berkumandang di udara semangat sebagai guru terus terpahat teguh di jiwa.