Cuti sekolah yang bermula pada 30 Mei lalu dimeriahkan dengan majlis-majlis perkahwinan. Pada 30 Mei kami berdua (dgn suami le siapa lagi) memenuhi jemputan di tiga lokasi iaitu satu di kawasan perumahan kami, satu lagi di Taman Kaya, dan satu lagi di Taman Paduka Setia, Kampung Boyan. Dapatlah bertemu dengan beberapa orang teman lama sewaktu di SKCJ dulu. Suami pun dapat berjumpa dengan beberapa teman lamanya.
Apabila pergi makan kenduri ni perkara pertama yang kita mesti ingat ialah bersalam dengan tuan rumah. Apabila bersalam pula mastilah pandang orang yang kita salam tu. Jangan pula mata kita dah pandang kat mana hidangan diletakkan. Tuan rumah pula sewaktu tetamu bersalam pastikan ucap terima kasih dan sekurang-kurangnya pandang muka tetamu tu. Ini tidak, ada setengah tempat tu lepas aje kita hulur tangan bayar tol situan rumah terus saja hulurkan tangan kepada orang belakang kita. Tak sempat pun dia menoleh kat kita. Kaya sungguh budi bahasa!
Perkara kedua kita jangan kecil hati kalau tak dapat beg cantik sebagai ole-ole daripada pihak tuan rumah macam orang yang duduk disebelah kita. Dalam pemberian ole-ole ni memang ada kasta. Adik beradik lain, orang kaya lain dan orang biasa macam kita lain. Jangan salah sangka pulak. Bukan semua orang buat macam itu ya! Jadi makan aje kenyang-kenyang lepas tu balik dan kunci mulut. Kalau tidak pahala pergi kenduri tadi tak dapat.
Perkara ketiga jangan bawa beg tangan besar sebab nanti payah nak ambil lauk sewaktu beratur. Budaya orang kita pantang beratur kut. Habis dilanggarnya kita nanti. Buatnya tersangkut lauk dalam pinggan yang ditatang tu kat beg tangan siapa nak jawab?
Cukuple tiga petua tu. Hari Ahad 31 Mei ada dua kenduri. Terpaksa gantung periuk lagi. Sewaktu makan ada nampak pelakon lama Hilal Azman. Tapi apa nak buat sebab dia pun dah tak popular. Kalau Rosyam Nor tu nak juga bergambar. Selepas itu pergi pulak ke Trong, perkahwinan staf sekolah suami. Namanya Fouziah. Cantik orangnya dan berseri dengan busana warna pink.