Sabtu minggu lepas, 13 Jun 2009 merupakan hari paling bermakna bagi Abangku sekeluarga kerana mereka memperoleh seorang lagi menantu. Dulu menantu lelakinya dari Kuala Terengganu, kali ini nampaknya dari Negeri 9 pula.
Pada mulanya aku dan suami memang nak pergi awal tapi apakan daya ada aral pula. Pada pagi itu suami mendapat perkhabaran ada saudaranya yang meninggal dunia. Jadi kami ambil keputusan pergi menziarahi arwah dahulu selepas itu ke rumah kenduri kahwin.
Selesai menziarah kami pun ke rumah abang bersama tiga orang anak saudara. Anak-anakku tidak dapat bersama. Faiz bekerja manakala Yan dan Nana di tempat pengajian masing-masing. Ketika kami sampai ramai tetamu memenuhi khemah. Apa lagi lepas bersalaman dengan bapa pengantin kami pun terus ke tempat bufet untuk menjamu selera.
Selesai menjamu selera pengantin pun sampai dan upacara persandingan pun bermula. Pada masa tu aku di dalam rumah kerana di luar teramat panas. Tapi aku tengok pengantin relax aje...Pelamin dan tempat makan pengantin semua di luar rumah! Pasangan pengantin nampak begitu anggun dengan busana berwarna biru putih.
Aku berpeluang duduk bersama saudara-saudaraku yang kebetulan datang bersama anak-anak mereka. Yang tak syoknya semua anak-anak saudara aku tu berat mulut. Duduk diam di samping ibu bapa masing-masing. Cuma Eda sorang yang agak riuh berceloteh.
Agaknya mak tentu seronok tengok anak-anaknya berkumpul walaupun dah kurang beberapa orang...Sedih pulak bila terkenang yang telah tiada. Apa pun waktu kenduri adalah waktu yang paling bermakna bagi kita yang masih ada keluarga dan orang tua. Mungkin bagi orang muda mereka tidak begitu terasa, tetapi bagi orang macam aku selalu terfikir entah bila dapat bersama pula.
Ucapan untuk pengantin, Selamat Pengantin Baru, semoga berkekalan sehingga ke akhir hayat!
Lihat slaid Majlis Perkahwinan Khairil Amir & Nor Azreen.
Kisah Kenduri Lagi!
Dicatat oleh
Badarieh Said
Khamis, Jun 18, 2009
Label: Keluargaku