Ketibaan kami sekeluarga ke Manchester Airport dari Heathrow disambut oleh rakan suami. Keluarganya sudah pulang ke Malaysia dan dia ada beberapa bulan sahaja lagi untuk menghabiskan tesis Masternya. Kami akan menetap di rumah yang disewanya apabila dia pulang ke Malaysia nanti.
Di hadapan 16 Cromwell Avenue, Manchester
Nampaknya rumah teres dua tingkat ini akan menjadi tempat kami berlindung selama menetap di sini. Suasana persekitarannya memang sesuai. Tempat membeli belah, sekolah, klinik dan taman permainan berhampiran. Walaubagaimanapun di kejiranan ini nampaknya tiada orang Melayu lain yang menetap. Tapi kami tidak kisah kerana berpendapat inilah pengalaman.
Jiran di sebelah kanan berbangsa Pakistan manakala di sebelah kiri Mat Saleh. Shelagh Dale, rakan sekelas Izyan. Bapanya bernama Tony dan ibunya Sara. Mereka cukup baik dan Izyan selalu diajak ke rumahnya untuk bermain bersama-sama. Dengan Paki sebelah kanan tidak berapa kenal kerana jarang berkomunikasi oleh sebab anaknya tidak sama kelas dengan Izyan. Walaubagaimanapun kalau berjumpa memang bertegur sapa kerana dia juga Muslim. Adat merantau kenalah ramah...
Rumah teres dua tingkat ini selesa juga, siap dengan perabot dan kelengkapan dapur. Satu rumah dilengkapi kapet mungkin untuk menangani cuaca sejuk. Kalau di Malaysia rumah kita wajib ada alat pendingin hawa tetapi di sini alat pemanas (heater) pula yang wajib ada. Kalau tak ada alamat bekulah kita apabila winter! Cukup rasanya cerita pasal rumah ni... Kita teruskan perjalanan...