Inilah sekolah pertama Izyan Syazwani. Sekolah ini terletak berhampiran dengan rumah lebih kurang lima minit berjalan kaki. Sekolah ini khusus untuk anak berumur 3 hingga 6 tahun. Di sekolah inilah Izyan memulakan pembelajaran secara formal. Dulu dia hanya belajar di rumah dengan emak dan abah. Izyan sebenarnya sudah boleh membaca ketika berusia tiga tahun lebih. Walaubagaimana pun dia belum membaca buku bahasa Inggeris dan hanya boleh bercakap sepatah dua dalam bahasa tersebut.
Hari pertama persekolahan aku agak lucu apabila dia mengangkat tangan untuk membaca abjad A, B, C. Cikgu tersebut hanya tersenyum dan memberitahu cara membaca abjad itu ialah membunyikannya. Lepas tu terus tak berani angkat tangan lagi. Murid dalam kelas ini hanya 15 orang dan ada seorang guru dan seorang pembantu. Macam Prasekolah kita sekarang. Yang bezanya sistem pembelajarannya di mana murid banyak didedahkan dengan ilmu untuk kehidupan bukannya asyik dengan penilaian. Kanak-kanak datang ke sekolah hanya membawa dua buah buku cerita yang dibekalkan oleh cikgu pada hari sebelumnya dan buku rekod membaca yang telah ditandatangani oleh ibu bapa! Tanda ibu bapa sudah menunaikan tanggungjawab untuk anak mereka iaitu membaca bersama-sama anak.
Izyan terus menunjukkan peningkatan dalam pembelajarannya dan dalam masa dua bulan sudah boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan kawan-kawannya. Bercakap macam Mat Saleh dan sudah lancar membaca buku-buku Inggeris. Boleh buat persembahan di hadapan kelas dan memenangi hadiah dalam beberapa pertandingan kelasnya. Mrs Speed seringkali memuji Izyan kerana kerajinannya dan pencapaiannya yang cemerlang. Dalam buku-buku latihannya banyak sticker Anugerah Guru Besar (Head Teacher Award) Murid-murid bebas berjumpa dengan Guru Besar untuk menunjukkan hasil kerja dan mereka yang membuat latihan dengan cemerlang akan mendapat award.
Manley Park Infant School - Sekolah Izyan di Manchester
Dicatat oleh
Badarieh Said
Rabu, Ogos 05, 2009
Headteacher (Guru Besar), Ms Dootson di perhimpunan mingguan. Izyan (dua dari kiri) bersama rakan-rakan sekelas di depan perhimpunan.
Di samping pembelajaran akademik, murid juga didedahkan dengan pembelajaran renang dan lawatan luar bilik darjah misalnya lawatan ke Chinatown. Selepas setiap lawatan murid dikehendaki menulis satu karangan tentang aktiviti yang telah dilakukan. Amat membanggakan apabila anak kita yang baru berumur 4 tahun dapat menghasilkan satu karangan pendek pengalamannya ketika berada di luar bilik darjah!Label: Catatan Perjalanan